Berita

Malaysia mahu lakukan terbaik untuk F1 Bahrain di Sepang

Memastikan penganjuran perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix yang akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang berlangsung lancar, Malaysia mengambil pendekatan mendapatkan cetusan idea daripada pihak berpengalaman.

Atas tujuan tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bersama Pengarah Eksekutif Grand Prix Singapura, Michael Roche bagi meneliti pengalaman dan amalan terbaik Singapura dalam penganjuran perlumbaan berprestij itu.

Perdana Menteri berkata, pertemuan dengan Roche itu digunakan sebaiknya bagi memastikan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang akan dapat dianjurkan dengan cemerlang pada Oktober depan.

“Penganjuran bertaraf dunia ini diyakini mampu membawa limpahan ekonomi yang besar menerusi peningkatan pelancongan, peluang pekerjaan serta aktiviti perniagaan.

“Malah ia juga dapat mengukuhkan keyakinan pelabur, sekali gus menyemarakkan Tahun Melawat Malaysia 2026,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Tegas Perdana Menteri, Malaysia komited memastikan penganjuran tersebut bukan sahaja memenuhi piawaian antarabangsa, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab sukan permotoran serantau.

“Semoga penganjuran ini membawa manfaat yang meluas kepada rakyat dan ekonomi negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI