Rasuah dalam perolehan, campur tangan pihak berkepentingan serta pemberian kontrak secara tidak wajar merupakan antara ancaman besar yang boleh menggugat kelancaran sesebuah organisasi.
Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Samsul Salip berkata, kumpulan pengurusan memainkan peranan penting dalam memastikan jenayah rasuah serta kepincangan tatakelola tidak berlaku dalam agensi utama seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Beliau berkata, pendedahan mengenai integriti serta antirasuah adalah topik kritikal yang perlu difahami dan dilaksanakan secara konsisten.
Kata beliau, sebagai agensi yang menyalurkan geran bantuan kepada masyarakat Bumiputera dalam bidang pendidikan dan perniagaan, MARA wajib memastikan aspek integriti dan tatakelola sentiasa terjamin.
“Langkah ini penting bagi mengelakkan ketirisan serta memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran,” katanya pada Program Smart Integriti MARA Bil. 2 Tahun 2026 di Ibu Pejabat MARA.
Program yang dihadiri kira-kira 80 pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional MARA itu bertujuan memperkukuh budaya integriti dan pencegahan rasuah dalam kalangan pegawai pengurusan agensi terbabit.
Menurut Samsul, usaha memperkukuh integriti tidak seharusnya terhenti pada penganjuran program semata-mata, tetapi mesti diterjemahkan dalam pelaksanaan tugasan harian.
Tambahnya, program yang dianjurkan itu merangkumi sesi interaktif, perbincangan kes dan latihan amali bagi meningkatkan kefahaman peserta.
Katanya, penganjuran Program Smart Integriti MARA mencerminkan komitmen berterusan SPRM dalam memperkasa budaya integriti serta memperkukuh usaha pencegahan rasuah dalam sektor awam.
“Ia menjadi bukti bahawa integriti bukan sekadar slogan, tetapi asas kepada keberkesanan dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi penting negara,” ujarnya. -MalaysiaMADANI
