Keharmonian hidup dalam sebuah masyarakat majmuk merupakan satu kelebihan buat Malaysia untuk melakar kejayaan demi kejayaan, seterusnya menjadi contoh kepada negara luar.
Memastikan kesejahteraan antara kaum terus utuh terjalin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa ‘turun padang’ bagi menyantuni masyarakat India di Seremban, Negeri Sembilan.
Perdana Menteri berkata, pertemuan tersebut memberi ruang untuk mendengar sendiri pandangan, harapan dan keperluan masyarakat India agar setiap dasar kerajaan benar-benar memberi manfaat sebaiknya.
“Sebagai seorang pemimpin Melayu dan beragama Islam, saya mahu melihat Malaysia terus aman, harmoni dan bersatu supaya setiap rakyat, tanpa mengira kaum atau agama dapat hidup dengan selamat, bermaruah dan sejahtera,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Terdahulu Perdana Menteri hadir Majlis Ramah Mesra PMX Bersama Komuniti India. Hadir sama Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan serta pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh masyarakat India tempatan.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Kerajaan MADANI akan terus memastikan masyarakat India tidak dipinggirkan dan merasai arus pembangunan negara.
Untuk itu kata beliau, pelbagai ikhtiar telah dilaksanakan melalui pemerkasaan MITRA, pendidikan, latihan kemahiran, keusahawanan, pembangunan belia serta pelbagai program kebajikan kepada masyarakat India.
Jelas beliau, semua yang dilakukan oleh Kerajaan MADANI itu bertujuan membuka lebih banyak peluang untuk komuniti tersebut terus maju.
Di Negeri Sembilan, menurut beliau, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Datuk Aminuddin Harun juga telah banyak membantu masyarakat India menerusi pelbagai inisiatif dalam bidang pendidikan, kebajikan, pembangunan ekonomi dan kemudahan masyarakat yang memberi manfaat secara langsung.
Malah beliau sendiri menegaskan akan memberikan perhatian secara langsung terhadap hal ehwal masyarakat India di peringkat Kerajaan Persekutuan bersama Ramanan bagi memastikan setiap isu yang berbangkit dapat ditangani dengan lebih berkesan.
“Dengan mandat yang berterusan, kita (Kerajaan MADANI) akan terus bekerja lebih kuat demi memastikan kemajuan, keadilan dan kesejahteraan dapat dinikmati oleh semua rakyat,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
