Berita

Peranan besar institusi kewangan bantu lonjak ekonomi negara 

Institusi kewangan memainkan peranan penting dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dan membantu menawarkan bantuan pinjaman kepada golongan usahawan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa institusi kewangan merupakan antara tonggak utama yang menggerakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, kemajuan sesebuah negara bukan sekadar diukur melalui angka pertumbuhan atau keuntungan, tetapi pada sejauh mana manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat. 

“Justeru, institusi perbankan perlu memastikan perkhidmatan kewangan yang berkualiti dapat diakses oleh semua,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Terdahulu Perdana Menteri merasmikan Ibu Pejabat Baharu Maybank di Menara Merdeka Maybank, Kuala Lumpur. 

Tambah beliau, kekuatan sesebuah institusi kewangan juga perlu berpaksikan integriti, tatakelola yang baik serta barisan profesional yang amanah dan berakhlak. 

Tegas beliau, tanpa nilai-nilai murni tersebut, mana-mana institusi yang gah dan hebat juga boleh kecundang.

“Dalam mendepani kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan dan pengkomputeran kuantum, kita tidak boleh mengabaikan nilai manusiawi. 

“Kemajuan yang sebenar ialah kemajuan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat dan memastikan tiada yang ketinggalan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI