Selepas kali terakhir dianjurkan tujuh tahun lalu, Kerajaan MADANI kembali menghidupkan Citrawarna bagi mempergiat usaha memelihara warisan budaya yang menjadi tunjang identiti negara, selain memperkenalkan keunikan Malaysia kepada dunia bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa meraikan kemeriahan Citrawarna 2026 di Dataran Merdeka, sebuah acara seni dan budaya yang menghimpunkan kepelbagaian tradisi serta warisan dari seluruh negara dalam satu pertunjukan penuh warna-warni.
Perdana Menteri menyatakan keterujaan menyaksikan persembahan dari setiap negeri yang dibawakan dengan penuh semangat, termasuk randai dan tari piring, zapin dan samrah, dondang sayang serta tarian canggung.
“Setiap persembahan bukan sahaja menghiburkan, malah mengangkat sejarah dan kisah di sebalik seni tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Lebih menggembirakan, beliau berkata, acara yang berakar pada sejarah dan identiti berjaya menghimpunkan rakyat pelbagai kaum untuk bersama-sama menikmati keindahan budaya Malaysia.
Dengan itu jelas beliau, ia dapat menyuburkan rasa saling menghargai dan memperkukuh semangat perpaduan sesama kaum.
Perdana Menteri turut menzahirkan hasrat agar lebih banyak acara yang mengetengahkan kekayaan seni, budaya dan warisan negara terus diraikan bersama.
Menurut beliau, semua pihak diharap dapat memberi dukungan dalam melaksanakan hasrat tersebut, termasuk sektor swasta agar khazanah negara terus hidup dan diwarisi generasi mendatang. -MalaysiaMADANI
