Berita

SPRM, PNB jalin kerjasama strategik perkukuh integriti agensi pelaburan negara

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) memperkukuh sinergi kerjasama strategik dua hala bagi memperkasakan tadbir urus dan integriti pelaburan negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, tadbir urus berintegriti adalah teras untuk memastikan keyakinan pelabur terhadap pelaburan yang diuruskan oleh PNB.

“PNB perlu terus mengekalkan integriti dan meningkatkan kepercayaan pelabur dalam menguruskan pelaburan dana amanah saham di negara ini,” katanya.

Terdahulu Abd Halim menerima kunjungan hormat daripada Presiden yang juga Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Sementara itu, Rizal berkata, PNB yang ditubuhkan pada 1978 adalah salah satu instrumen Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang kini menguruskan pelaburan membabitkan 13 juta rakyat Malaysia.

Ini bermakna, kata beliau, satu daripada tiga rakyat Malaysia adalah pelabur PNB dan institusi pelaburan itu perlu memastikan tahap keyakinan pelabur sentiasa berada pada tahap yang tinggi.

“Komitmen ini dizahirkan menerusi penyertaan PNB secara tahunan dalam Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang menjadi sebahagian daripada teras Pelan Antirasuah Organisasi Kumpulan PNB 2025–2028,” ujarnya.

Kunjungan hormat PNB itu adalah sempena pelantikan Rizal sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB berkuat kuasa 1 Julai 2026.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai prosedur pelaburan PNB, perkongsian pengalaman, kepatuhan pengawalseliaan dan perbincangan strategik isu-isu semasa dalam memperkasa agenda antirasuah dan tadbir urus berintegriti.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman dan Ahli Lembaga Pengarah PNB, Tan Sri Datuk Zainun Ali. -MalaysiaMADANI