Pengorbanan dan sumbang bakti diberikan warga Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi menjaga keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa dihargai oleh seluruh lapisan masyarakat.
Sempena sambutan Hari Imigresen Ke-104, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr Awang Alik Jeman mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga JIM atas dedikasi, komitmen dan pengorbanan diberikan.
Beliau berkata, penghargaan khusus diberikan buat petugas JIM yang ikhlas berbakti dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan sempadan negara, mengurus perkhidmatan imigresen serta memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.
“Semoga tema ‘Melakar Wajah Baharu Imigresen’ terus menjadi pemangkin kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, berintegriti dan berdaya saing demi manfaat rakyat dan negara,” kata beliau menerusi laman media sosial KDN.
Sementara itu, JIM menerusi laman media sosialnya berkata, di sebalik setiap perkhidmatan disampaikan, setiap sempadan yang dipelihara dan setiap amanah digalas, berdirinya warga JIM yang menjadi nadi kekuatan organisasi.
Katanya, meskipun petugas yang hadir daripada pelbagai bahagian, kepakaran dan penugasan, namun berkongsi satu matlamat yang sama untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.
“Sempena Sambutan 104 Hari Imigresen 2026, marilah kita menghargai dedikasi, komitmen dan pengorbanan seluruh warga Imigresen yang terus melaksanakan amanah dengan penuh integriti, profesionalisme dan semangat berpasukan,” ujarnya.
Menurutnya, setiap petugas bukan sekadar wajah-wajah Imigresen, tetapi insan yang menggerakkan aspirasi ‘Melakar Wajah Baharu Imigresen’ demi masa depan yang lebih cemerlang. -MalaysiaMADANI
