Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan ‘turun padang’ bagi melihat situasi sebenar di lapangan selari dengan semangat Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
Memahami keadaan sebenar sesebuah sekolah, tidak cukup sekadar membaca laporan di atas meja tetapi perlu turun sendiri ke lapangan melihat dengan mata sendiri, mendengar suara warga sekolah dan merasai realiti dihadapi setiap hari.
Menurut BPI KPM, roh dan reformasi RPM 2026-2035 tidak hanya tertulis di atas kertas, tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan dan keprihatinan.
“Atas semangat tersebut, Pengarah BPI telah mengadakan tinjauan kerja ke Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi (SAM BBST).
“Ketika lawatan berlangsung, sekolah sedang melaksanakan Peperiksaan Percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus memberi gambaran sebenar tentang suasana pengoperasian sekolah serta kesiapsiagaan warga sekolah dalam memastikan peperiksaan berjalan lancar,” kata BPI KPM menerusi laman media sosialnya.
Katanya, tinjauan tersebut bukan sekadar melihat angka dan data, perhatian turut diberikan terhadap keadaan dewan sekolah, bilik darjah, pusat sumber serta asrama lelaki dan perempuan.
Jelasnya, setiap sudut diteliti daripada aspek keselamatan, keselesaan, fungsi kemudahan dan keperluan penyelenggaraan.
Kerana hakikatnya, tambahnya, murid tidak hanya belajar di dalam buku tetapi persekitaran yang membentuk emosi, motivasi serta kesejahteraan kumpulan pelajar.
“Setiap dapatan yang diperoleh bukan untuk mencari kekurangan, sebaliknya menjadi titik mula kepada penambahbaikan yang lebih tersusun dan berimpak,” ujarnya.
Katanya lagi, sesebuah sekolah cemerlang bukan hanya diukur melalui keputusan peperiksaan semata-mata tetapi juga melalui sejauh mana penyediaan ekosistem pendidikan yang selamat, selesa serta membina potensi setiap anak.
Menurutnya, reformasi sebenar adalah ketika mana kepimpinan sanggup turun padang, mendengar, memahami serta bertindak, seterusnya menjadi pelaburan besar untuk masa depan anak bangsa dan negara.
“Pendidikan bukan sekadar tentang membina sekolah yang hebat, tetapi membina harapan dan masa depan generasi pewaris bangsa,” ujarnya. -MalaysiaMADANI
