Berita

Bukan sekadar jaminan kelestarian negara, mampu jana sumbangan sehingga RM220 bilion

Pelaburan hijau menjadi keutamaan kerajaan dalam menjana pertumbuhan ekonomi untuk terus berkembang dengan baik, seterusnya memastikan kelestarian negara kekal terjamin.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, pelaburan hijau bukan sekadar komitmen terhadap kelestarian, tetapi juga pemacu utama pertumbuhan ekonomi masa hadapan.

Katanya, dengan potensi sumbangan sehingga RM220 bilion kepada ekonomi negara, ia membuka ruang kepada penciptaan peluang baharu, menarik pelaburan berkualiti tinggi serta memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia.

“Selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), pihak kementerian komited menerajui agenda ini dalam mempercepatkan transformasi ekonomi negara ke arah yang lebih mampan, berdaya saing dan rendah karbon,” kata MITI menerusi laman media sosialnya. 

Menurutnya, peralihan kepada ekonomi hijau bukanlah satu kos, tetapi satu pelaburan strategik yang memberikan pulangan jangka panjang kepada negara dan rakyat. -MalaysiaMADANI