Kerajaan akan memastikan agenda peralihan tenaga negara terus dilaksanakan secara tersusun dan berimpak berdasarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tenaga Negara Bilangan 1 2026.
Setakat Disember lalu, beliau berkata, negara berjaya meningkatkan kapasiti terpasang Tenaga Boleh Baharu (TBB) kepada 31 peratus, selaras usaha mengurangkan kebergantungan kepada arang batu.
“Usaha ini diperkukuh melalui kejayaan Skim CRESS yang kini dilengkapi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS),” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Menurut beliau, dalam sektor pengangkutan pula, pelaksanaan Biodiesel B15 memacu negara ke arah penggunaan bahan api alternatif yang lebih mampan, selain akan diperkukuh dengan hab biobahan api PETRONAS di Pengerang.
Tambah beliau lagi, projek elektrifikasi pengangkutan awam pula berjalan mengikut perancangan, termasuk pengoperasian 250 bas elektrik serta liputan 800 kilometer rangkaian rel.
Di Sarawak, kata beliau, Fasa 1 pembangunan hab hidrogen bagi Transit Aliran Automatik (ART) dijadual siap hujung tahun ini.
Jelas beliau, ketika mana ketidaktentuan geopolitik dan krisis bekalan terus mencengkam dunia, Malaysia kekal bersiap siaga untuk menjamin keterjaminan tenaga jangka panjang.
“Justeru kerajaan akan mengkaji keperluan serta strategi untuk mewujudkan stok simpanan petroleum negara sebagai langkah memperkukuh daya tahan negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
