Berita

Jika benar berlaku salah laku, tiada kompromi kepada pesalah

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku sekiranya ia berjaya dibuktikan menerusi proses siasatan yang telus dan bebas. 

KDN berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Parlimen Kelima Belas Bilangan 9 Tahun 2026 telah bersidang di Parlimen pada hari ini untuk mendengar maklum balas terperinci berhubung Inkuiri SUHAKAM mengenai insiden yang berlaku di Penjara Taiping, Perak. 

Katanya, jawatankuasa tersebut telah dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dan dihadiri oleh Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong; Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.

Menurutnya lagi, delegasi KDN dalam mesyuarat tersebut diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan pembentangan maklumbalas telah disampaikan oleh Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), TKJP Hafidz Othman. 

“Melalui pembentangan tersebut, KDN dan Jabatan Penjara Malaysia telah menegaskan bahawa Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku sekiranya ia benar-benar dibuktikan melalui proses siasatan yang telus dan bebas. 

“Dalam masa sama, insiden yang telah berlaku ini tidak seharusnya menenggelamkan jasa jiwa warga Jabatan Penjara Malaysia yang menggalas amanah negara dalam persekitaran yang mencabar namun tetap berdiri teguh melaksanakan tugas dengan profesionalisme, dedikasi dan penuh rasa tanggungjawab demi memelihara keselamatan institusi serta kesejahteraan masyarakat,” kata KDN menerusi laman media sosialnya.

Tambahnya lagi, pembentangan turut menyentuh tindakan undang-undang yang telah diambil dan prosiding tatatertib dalaman yang telah dikuatkuasakan ke atas pegawai atau anggota terlibat.

Selain itu katanya, mesyuarat turut menyentuh kerja penambahbaikan aspek keselamatan fasiliti penjara yang uzur, kebajikan dan hak kesihatan tahanan serta professionalisme pegawai penjara bagi memastikan kebertanggungjawaban penuh serta integriti pengurusan operasi sentiasa terpelihara tanpa sebarang kompromi. 

Tegasnya, KDN dan Jabatan Penjara Malaysia akan sentiasa meneruskan penambahbaikan dalam mendepani segala cabaran demi kebaikan bersama. 

“Keadilan holistik akan terus ditegakkan demi melindungi maruah kemanusiaan sambil menjamin kesejahteraan kakitangan serta keselamatan negara,” ujarnya. -MalaysiaMADANI