Berita

Pelabuhan Midport bakal rancakkan pertumbuhan ekonomi maritim negara

Komitmen Malaysia menjadi sebuah negara yang berupaya memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dengan sebaiknya berjaya diterjemahkan menerusi pembinaan infrastruktur baharu menggunakan teknologi tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Negeri Sembilan melakar satu lagi lembaran penting dalam perjalanan pembangunan negara apabila Projek Pelabuhan Midport – Pelabuhan Kontena Pintar berkuasa Kecerdasan Buatan (AI) di Mukim Pasir Panjang, Port Dickson dimulakan secara rasmi.

Beliau berkata, pelabuhan pintar berteraskan kecerdasan buatan tersebut bukan sekadar memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara maritim strategik di Selat Melaka, malah menjadi wahana baharu untuk meningkatkan kecekapan logistik negara.

“Pelabuhan pintar ini juga mampu mempercepat urusan perdagangan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negara,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Menurut Perdana Menteri, ketika mana dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan, Malaysia memilih untuk terus mara dengan memperkukuh daya saing melalui teknologi, pendigitalan dan kerjasama erat antara kerajaan dengan sektor swasta. 

Jelas beliau, ikhtiar negara membangunkan pelabuhan pintar itu akan memastikan Malaysia terus berupaya menongkah cabaran global, di samping membuka ruang pelaburan dan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat, khususnya generasi muda.

Yang lebih utama, kata beliau, manfaat pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan perlu dirasai secara lebih seimbang kepada masyarakat. 

Oleh yang demikian, beliau berkata, kerajaan mengangkat kawasan yang selama ini tidak berada di arus perdana pembangunan seperti Linggi dan Port Dickson agar muncul sebagai hab ekonomi baharu yang berdaya saing di rantau ini. 

“Agenda MADANI bukan hanya membina infrastruktur, tetapi membina masa depan yang lebih makmur, inklusif dan berdaya tahan untuk seluruh rakyat Malaysia,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI