Antara perbincangan utama mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) membabitkan kedudukan semasa keterjaminan makanan negara dan isu pengurusan pelarian di negara ini.
Mengulas berhubung keterjaminan makanan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bekalan makanan ruji negara pada ketika ini adalah stabil dan mencukupi.
Beliau berkata, keutamaan kerajaan adalah memastikan bekalan terus terjamin, harga makanan kekal terkawal serta kebajikan pesawah dan pengeluar makanan tempatan dipelihara.
“Selain itu, MTEN turut memberikan perhatian kepada pengurusan pelarian yang menjadi perhatian rakyat ketika ini. Pendaftaran pelarian secara lebih teratur sedang dilaksanakan.
“Sementara itu, teknologi dan analitik data akan dimanfaatkan bagi membanteras penyeludupan, pemerdagangan manusia, penyalahgunaan dokumen dan kemasukan melalui lorong haram,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Menurut beliau, Kerajaan MADANI berpendirian tegas bahawa tiada mana-mana pelarian yang kebal daripada tindakan undang-undang, termasuk pemegang kad UNHCR.
Jelas beliau, pelarian yang melakukan jenayah telah pun diambil tindakan dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan tanpa kompromi selaras dengan undang-undang negara.
Tambah beliau lagi, mesyuarat tersebut turut meneliti langkah memperkukuh daya tahan sektor pembuatan yang sedang berdepan tekanan akibat krisis bekalan global.
Kata beliau, antara perkara yang diberi perhatian adalah industri plastik yang menjadi penyokong kepada pelbagai sektor strategik termasuk pembungkusan makanan, elektrik dan elektronik, automotif serta peranti perubatan.
“Kerajaan mengambil serius pandangan yang dikemukakan oleh pemain industri. Saya telah mengarahkan MITI bersama Kementerian Ekonomi untuk melaksanakan libat urus lanjut dengan pihak industri.
“Ini bagi merumuskan penyelesaian yang dapat mengurangkan tekanan kos serta memastikan keseluruhan ekosistem pembuatan negara terus berdaya tahan dalam jangka panjang,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
