Buat julung kali Seminar Integriti dan Akauntabiliti Personel Kejuruteraan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tahun 2026 diadakan bagi memperkukuh budaya integriti, akauntabiliti dan tadbir urus cemerlang.
Platform tersebut yang menjadi medan perkongsian ilmu, pengalaman serta amalan terbaik warga KKM telah mendapat kerjasama daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Setiausaha (KSU) KKM, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, warga Kejuruteraan KKM memikul amanah yang besar dalam memastikan sistem kesihatan negara terus berfungsi dengan cekap, selamat dan berkesan.
Beliau berkata, melalui pelaksanaan projek pembangunan, penyelenggaraan serta pengoperasian ribuan fasiliti kesihatan dan aset kerajaan, setiap keputusan teknikal yang dibuat bukan sahaja melibatkan aspek kejuruteraan.
Sebaliknya kata beliau, ia memberi impak langsung terhadap keselamatan pesakit, kelangsungan penyampaian perkhidmatan kesihatan serta keyakinan rakyat terhadap sistem kesihatan negara.
Tegas beliau, integriti merupakan asas kepada kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.
“Sebagai kementerian yang menguruskan peruntukan besar dan menyentuh kehidupan jutaan rakyat setiap hari, KKM perlu terus memperkukuh budaya integriti secara sistematik dan berterusan,” kata beliau menerusi laman media sosial KKM.
Tegas beliau, kecekapan dan kepakaran sahaja tidak mencukupi tanpa pegangan teguh kepada prinsip integriti kerana hanya dengan integriti, keyakinan dan kepercayaan rakyat dapat terus dipelihara.
Beliau berkata, pelbagai dasar serta mekanisme kawalan seperti Polisi Antirasuah KKM, Polisi Pengurusan Hadiah dan Polisi Percanggahan Kepentingan telah diwujudkan bagi memastikan setiap warga kementerian melaksanakan tugas dengan penuh amanah, integriti dan akauntabiliti. -MalaysiaMADANI
