Kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah hampir RM1 juta kepada 14 buah institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Port Dickson, Negeri Sembilan untuk pelaksanaan naik taraf bilik guru.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, peruntukan itu merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI untuk meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan warga pendidik yang sentiasa bersungguh-sungguh mencurah bakti membimbing anak bangsa.
Kata beliau, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berhenti berusaha dan pelbagai ikhtiar direncana bagi terus memacu pendidikan di Negeri Sembilan.
Beliau berkata, Negeri Sembilan mempunyai potensi pendidikan yang sangat baik berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dicatatkan pada tahun lalu.
Dalam peperiksaan itu, menurutnya, Negeri Sembilan berjaya mencatat Gred Purata Negeri (GPN) 4.16 dan mengatasi gred purata kebangsaan.
“Pencapaian tersebut juga menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2024,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Terkini beliau berkata, program Reformasi Sekolah dilaksanakan bagi meningkatkan kemenjadian murid dan pencapaian sekolah secara holistik.
Tambah beliau, sebanyak 62 buah sekolah merangkumi 32 Sekolah Kebangsaan (SK) dan 30 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dari enam PPD telah terpilih untuk menyertai program reformasi tersebut.
Terdahulu Fadhlina menghadiri Karnival Pendidikan MADANI 2026 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Port Dickson.
Bertemakan ‘Sehari Bersama Rakyat’, Fadhlina berkata, pelbagai aktiviti dan pengisian dilaksanakan termasuk Program TEKAD, sesi perkongsian serta pameran STEM, TVET dan kecerdasan buatan.
“Karnival seumpama itu penting kerana ia menjadi wadah untuk merakyatkan pendidikan dan menyampaikan perkembangan terkini kepada masyarakat berkenaan gerak kerja yang sedang giat berjalan di semua peringkat,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
