Prestasi cemerlang dan komitmen tinggi ditunjukkan warga Jabatan Penjara Malaysia mendapat perhatian Kementerian Dalam Negeri (KDN) terutama dalam memastikan organisasi itu melaksanakan proses pemulihan penghuni pusat tahanan dengan sebaiknya.
Seramai 318 orang petugas Jabatan Penjara Malaysia menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 Sidang Kedua yang dianjurkan jabatan tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak kementerian merakam setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua penerima APC atas komitmen, dedikasi serta sumbangan diberikan dalam memastikan jabatan itu terus cemerlang dalam melaksanakan tanggungjawab.
Beliau berkata, KDN menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian dan transformasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia, khususnya dalam memperkukuhkan pendekatan pemulihan holistik yang memberi penekanan kepada pembangunan sahsiah, nilai kerohanian serta pembentukan insan.
“Penganjuran majlis APC ini bukan sekadar meraikan kecemerlangan individu, malah menjadi simbol penghargaan organisasi terhadap warga Jabatan Penjara Malaysia yang sentiasa berkhidmat dengan penuh integriti, profesionalisme dan semangat kebersamaan,” kata beliau.
Menurut beliau, antara pencapaian yang mendapat perhatian adalah program melahirkan huffaz dalam kalangan prospek yang merupakan satu inisiatif pemulihan berimpak tinggi dalam membentuk perubahan positif melalui pendidikan agama, pengukuhan nilai murni dan pembangunan jati diri.
Jelas beliau, program tersebut mencerminkan komitmen Jabatan Penjara Malaysia dalam menyediakan ruang kedua kepada prospek untuk kembali ke pangkuan masyarakat sebagai individu yang lebih baik dan berdaya saing.
“Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk terus meningkatkan prestasi, memperkukuhkan budaya kerja berintegriti serta menjadi inspirasi kepada seluruh warga Jabatan Penjara Malaysia dalam menjulang kecemerlangan perkhidmatan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
