Kemakmuran dan kesejahteraan rakyat di negara ini mendapat pengiktirafan dunia apabila Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara negara paling aman di dunia.
Berdasarkan Global Peace Index (GPI) 2026, Malaysia kini berada di tangga ke-12 dunia sebagai negara paling aman, sekali gus meletakkan negara sebaris dengan negara-negara paling aman di Asia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pencapaian baik itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan negara sentiasa terpelihara.
“Ia juga hasil dedikasi pasukan keselamatan, agensi penguatkuasaan serta seluruh rakyat Malaysia yang bersama-sama memainkan peranan menjaga keamanan negara,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Kata beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus memperkukuh usaha meningkatkan keselamatan awam, memperkasa penguatkuasaan undang-undang, memperkukuh kawalan sempadan serta membanteras aktiviti jenayah.
Tegas beliau, semua usaha keras itu dilaksanakan demi memastikan Malaysia kekal aman, selamat dan sejahtera.
“Keamanan adalah asas kepada kesejahteraan rakyat, kemakmuran negara dan masa depan yang lebih baik untuk semua,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
