Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tersenarai sebagai finalis dalam empat kategori utama bagi ICA Compliance Awards APAC 2026 anjuran International Compliance Association (ICA), United Kingdom.
Daripada 10 kategori yang diiktiraf di peringkat Asia Pasifik, SPRM buat pertama kali menyertai kategori terbabit telah disenaraikan sebagai finalis untuk Compliance Leader of the Year menerusi pencalonan Ketua Cawangan C, Bahagian Siasatan SPRM, Mohd Shukri Mohd Said; Rising Star Award yang diwakili Mohammad Nazree Mansor; serta dua kategori organisasi iaitu Compliance Team of the Year dan Small Compliance Team of the Year (Less Than Seven Team Members).
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, pencalonan SPRM sebagai finalis dalam empat kategori tersebut merupakan satu pengiktirafan membanggakan dan mencerminkan komitmen berterusan warga SPRM dalam memperkukuh integriti, pematuhan, tadbir urus serta pencegahan rasuah.
“SPRM merakamkan tahniah kepada semua pegawai yang terlibat dan berharap pencapaian tersebut akan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan SPRM untuk mencapai kecemerlangan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Mohd Shukri berkata, pencalonan itu merupakan satu penghormatan besar kepada SPRM dan membuktikan komitmen berterusan warga Suruhanjaya dalam memperkasakan integriti, pematuhan serta tadbir urus yang baik.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja mengangkat nama SPRM di persada antarabangsa, malah menjadi bukti kepada dedikasi dan profesionalisme seluruh warga kerja dalam mendukung agenda antirasuah negara,” katanya.
Beliau berkata, lebih membanggakan apabila dua pencalonan organisasi yang diterima adalah hasil inisiatif dan pencapaian Cawangan Siasatan C, termasuk pelaksanaan projek khas yang diterajui olehnya bersama rakan sepasukan.
Bagi Mohammad Nazree, beliau menyifatkan pencalonannya bagi kategori Rising Star Award sebagai satu pengiktirafan yang amat bermakna dalam perjalanan kerjayanya.
Beliau berkata, pencalonan tersebut menjadi pemangkin untuk terus meningkatkan kompetensi profesional dan menyumbang secara lebih signifikan dalam usaha memperkukuh integriti, tadbir urus serta pencegahan rasuah dalam perkhidmatan awam.
Penerima anugerah ICA Compliance Awards APAC 2026 dijadual diumumkan pada majlis penyampaian anugerah yang akan berlangsung secara dalam talian pada 21 Julai depan. -MalaysiaMADANI
