Berita

Geran tahunan KRT dinaikkan kepada RM10,000 bermula Januari 2027

Kerajaan MADANI menghargai sumbangan besar Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dalam memberi khidmat kepada kelompok masyarakat terutama berperanan menjaga keselamatan dan kesejahteraan di kawasan masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, atas peranan penting yang dimainkan KRT sebagai benteng perpaduan masyarakat, Kerajaan MADANI bersetuju meningkatkan geran tahunan KRT daripada RM6,000 kepada RM10,000 bermula 1 Januari 2027.

Beliau berkata, KRT memainkan peranan penting dalam memupuk semangat kejiranan, memperkukuh perpaduan dan membantu memelihara keamanan masyarakat.

“Usai bertemu penjawat awam di Melaka, saya terus ke Segamat untuk bersama warga Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Johor yang telah memainkan peranan sebaiknya dalam melaksanakan tugas kepada masyarakat,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Tegas beliau, kekuatan Malaysia terletak pada keupayaan rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang untuk hidup bersama dalam suasana saling menghormati dan saling mempercayai. 

Menurut beliau, suara penghasut kebencian dan memecah-belahkan rakyat harus ditumpaskan menerusi semangat perpaduan yang telah menjadi asas kekuatan negara selama ini.

Dalam lawatan itu, Perdana Menteri turut meluluskan peruntukan segera RM1 juta bagi kerja-kerja baik pulih kuarters polis yang memerlukan perhatian segera di Johor, sementara menunggu pelaksanaan projek yang lebih menyeluruh melalui Belanjawan akan datang. 

Di samping itu kata beliau, Kerajaan MADANI turut meluluskan RM3.205 juta bagi melaksanakan 16 projek baik pulih infrastruktur asas institusi pendidikan Islam seperti pondok, madrasah tahfiz dan sekolah agama di Johor. 

“Mudah-mudahan segala usaha ini dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkukuh pembangunan komuniti dan memastikan manfaat kemajuan negara terus dirasai oleh masyarakat di seluruh negeri,” ujar beliau.-MalaysiaMADANI