Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-149 di Bangunan Parlimen.
Mesyuarat kali ini memberi tumpuan kepada pelbagai inisiatif kerajaan ke arah memperkukuh dan memulihkan ekonomi negara.
Perdana Menteri berkata, perkara itu penting susulan cabaran dan ketidaktentuan yang berpunca daripada konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada ekonomi global.
“Mesyuarat turut meneliti tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi fenomena El Niño yang dijangka memberi kesan terhadap bekalan air, sektor pertanian, keselamatan makanan serta risiko cuaca panas melampau dan jerebu,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Perdana Menteri berkata, tumpuan mesyuarat turut menekanan kepada usaha memastikan setiap dasar dan inisiatif dilaksanakan secara lebih bersepadu, cekap dan berpaksikan kepentingan rakyat.
Di samping itu kata beliau, Kerajaan Negeri perlu memperkukuh daya saing ekonomi, menarik pelaburan berkualiti serta menjamin kesejahteraan rakyat di seluruh negara.
“Insya-Allah, semangat kebersamaan dan kesepakatan yang dizahirkan menerusi mesyuarat ini akan terus memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Semua ini demi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh oleh seluruh rakyat,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
