Berita

Rampasan RM59.16 juta, KDN perkukuh Smart Enforcement antara agensi

Menghadapi cabaran Krisis Bekalan Global, Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperhebat usaha penguatkuasaan menerusi kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

KDN berkata, sehingga 21 Jun lalu, operasi bersepadu yang dilaksanakan di seluruh negara telah merekodkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM59.16 juta dan sebanyak 393 kes berjaya dikesan dan diambil tindakan.

Katanya, daripada jumlah kes yang direkodkan itu, sebanyak 1,188 tangkapan dilakukan oleh pihak berkuasa negara membabitkan pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 977 tangkapan dilakukan oleh PDRM membabitkan nilai rampasan berjumlah RM54.54 juta, diikuti APMM 116 tangkapan (RM4.62 juta) dan JIM sebanyak 95 tangkapan melibatkan rampasan kenderaan,” kata KDN menerusi laman media sosialnya.

Menurut KDN, fokus penguatkuasaan yang dijalankan oleh pihak berkuasa adalah membabitkan bahan bakar diesel, petrol, LPG dan barangan keperluan asas seperti gula serta tepung gandum.

KDN berkata, pencapaian baik itu membuktikan komitmen berterusan pihak kementerian dalam melaksanakan pendekatan Smart Enforcement bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan penyelewengan bekalan bersubsidi yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

“KDN akan terus memperkukuh penguatkuasaan rentas agensi demi memastikan keselamatan negara, keterjaminan bekalan dan kemakmuran Malaysia MADANI sentiasa terpelihara,” ujarnya. -MalaysiaMADANI