Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) melakar sejarah tersendiri apabila menerima 1,213 pelajar baharu bagi Sesi I Tahun Akademik 2026/2027 menjadikan jumlah tertinggi pernah direkodkan sejak penubuhannya pada 2002.
Pencapaian luar biasa ini membuktikan bahawa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda sebagai laluan utama untuk membina kerjaya masa depan yang mampan dan berdaya saing.
PSAS berkata, kemasukan pelajar baharu yang memberangsangkan itu mencerminkan perubahan persepsi masyarakat terhadap TVET yang suatu ketika dahulu sering dianggap sebagai pilihan kedua.
Pada hari ini katanya, TVET muncul sebagai pilihan strategik yang menawarkan peluang pendidikan berkualiti, kemahiran berimpak tinggi serta kebolehpasaran graduan yang cemerlang selaras dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi digital negara.
“Lebih membanggakan, pelajar yang mendaftar di PSAS datang daripada pelbagai latar belakang bangsa, budaya dan negeri di seluruh Malaysia.
“Malah kemasukan pelajar dari Sabah dan Sarawak turut menunjukkan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap reputasi PSAS sebagai institusi TVET pilihan di peringkat nasional,” kata PSAS dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, kepelbagaian itu bukan sahaja memperkayakan pengalaman pembelajaran di kampus, malah mewujudkan suasana yang harmoni serta mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan mahasiswa.
Jelasnya, kehadiran pelajar dari pelbagai kaum dan wilayah membuktikan bahawa PSAS berjaya menjadi platform yang menyatukan anak muda Malaysia melalui pendidikan dan pembangunan kemahiran.
“Sebagai antara institusi TVET terkemuka negara, PSAS kini menawarkan 14 program diploma dan satu program ijazah sarjana muda.
“PSAS telah melahirkan lebih 27,000 graduan yang berjaya menyumbang kepada pembangunan industri dan ekonomi negara,” ujarnya. -MalaysiaMADANI
