Berita baik daripada Kerajaan MADANI bagi meringankan beban rakyat terus dilaksanakan apabila Perdana Menteri mengumumkan penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter untuk rakyat Malaysia bermula awal Julai ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semua rakyat Malaysia boleh membeli bahan bakar diesel pada harga baharu melalui penggunaan MyKad, sekali gus menikmati subsidi pada kadar yang lebih rendah dan bersasar.
Beliau berkata, ketika mana banyak negara masih bergelut dengan ketidaktentuan ekonomi global, gangguan rantaian bekalan dan tekanan kos yang berpanjangan, Kerajaan MADANI terus berusaha mencari ruang untuk mengembalikan manfaat kepada rakyat.
“Pastinya pengumuman ini memberi kelegaan kepada ramai pengguna diesel, termasuk pemilik kenderaan pikap, komuniti 4×4, petani, usahawan kecil serta mereka yang menggunakan kenderaan diesel untuk urusan harian dan mencari rezeki.” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Apa yang penting kata beliau, subsidi yang diberikan oleh kerajaan boleh terus dinikmati oleh rakyat Malaysia yang layak melalui mekanisme MyKad yang lebih bersasar, adil serta telus.
Tegas beliau, dasar kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan komitmen yang berterusan, memastikan setiap dasar dan keputusan kerajaan sentiasa berteraskan kepentingan rakyat.
Tambah beliau lagi, usaha membantu meringankan kos sara hidup rakyat akan terus menjadi keutamaan Kerajaan MADANI.
“Bila ekonomi negara semakin kukuh, manfaatnya mesti kembali kepada rakyat,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
