Meskipun sibuk dengan tugasan hakiki, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih sempat meluangkan masa bersama rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum bagi meraikan majlis makan malam sempena sambutan Gawai Dayak.
Majlis penuh meriah di Kuching itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Perdana Menteri berkata, sejak memimpin Kerajaan MADANI, sambutan Gawai Dayak serta Kaamatan merupakan satu acara yang amat penting dan sentiasa akan berusaha untuk hadir setiap tahun.
“Bagi saya, Gawai Dayak melambangkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi kekuatan Sarawak.
“Semangat Segulai Sejalai inilah yang terus memperkukuh silaturahim, persefahaman dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan budaya,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Perdana Menteri berkata, Kerajaan MADANI telah melaksanakan pelbagai perkara yang sekian lama tertangguh dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Jelas beliau, meskipun sebahagiannya memerlukan penelitian serta rundingan yang teliti, hubungan yang dibina atas kepercayaan, persahabatan dan semangat muafakat telah membolehkan banyak kemajuan dicapai antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
Tambah beliau, penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak merupakan antara langkah penting yang lahir daripada keyakinan terhadap keupayaan Sarawak mengurus aset strategiknya sendiri.
Tegas beliau, kepercayaan bahawa apabila sesebuah negeri ditadbir dengan baik, dipimpin oleh pimpinan yang berwibawa dan memahami prinsip tadbir urus yang baik, maka hasilnya akan dapat dilihat serta dirasai oleh rakyat.
“Atas keyakinan yang sama, saya sentiasa menekankan potensi besar Sarawak sebagai antara peneraju industri tenaga dan ekonomi masa hadapan negara dalam setiap pertemuan dengan pemimpin dunia serta pemain industri utama, termasuk ketika lawatan ke Rusia, Turkmenistan dan Jepun baru-baru ini,” ujar beliau.
Menurut beliau lagi, Sarawak mempunyai kelebihan yang besar dan mampu muncul sebagai antara kuasa tenaga utama di rantau ini.
Sementara itu menyentuh hubungan PETRONAS dan PETROS, Perdana Menteri menyatakan bahawa beliau dan Premier Sarawak sepakat untuk segala isu yang masih berbaki perlu diselesaikan secara adil, saksama dan dengan semangat sebagai satu pasukan.
Beliau berkata, kerjasama yang erat antara kedua-dua syarikat tersebut penting untuk mengangkat martabat Sarawak dan Malaysia secara keseluruhannya.
“Saya juga ingin memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus komited menyumbang kepada pembangunan Sarawak. Kita adalah satu pasukan. Kita bekerja bersama dan kita melakar kejayaan bersama.
“Mudah-mudahan usaha ini terus diberkati dan Malaysia termasuk Sarawak akan terus berkembang sebagai negara yang aman, adil, makmur dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
