Berita, Siaran Media

Malaysia – Rusia perkukuh kerjasama strategik dalam sektor tenaga dan teknologi

Malaysia dan Rusia bersetuju untuk memperkukuh hubungan dua hala menerusi penerokaan pelbagai bidang kerjasama strategik yang berpotensi memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara, khususnya dalam sektor tenaga, teknologi dan perdagangan.

Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Rusia, Vladimir Putin sempena lawatan rasmi beliau ke negara berkenaan.

“Perbincangan yang berlangsung turut memberi fokus kepada usaha memperluas kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara, termasuk penghargaan Malaysia terhadap komitmen Rusia dalam menawarkan kerjasama jangka panjang berkaitan bekalan tenaga dan minyak.

“Kerjasama dalam sektor tenaga dilihat sebagai antara bidang yang mempunyai nilai strategik tinggi memandangkan keperluan negara untuk memastikan bekalan tenaga yang stabil, mampan dan berdaya tahan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya, hari ini.

Anwar menambah  dalam pertemuan berkenaan mereka turut bertukar pandangan mengenai peluang memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor berteknologi tinggi seperti keselamatan siber, teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden dan industri farmaseutikal.

Langkah itu katanya dilihat mampu membuka ruang baharu kepada Malaysia untuk memperluas pemindahan teknologi, meningkatkan keupayaan inovasi tempatan serta memperkukuh daya saing negara dalam ekonomi digital global.

“Dalam aspek hubungan rakyat dengan rakyat, kami turut membincangkan usaha memudah cara pergerakan antara Malaysia dan Rusia termasuk cadangan pemansuhan visa yang berpotensi merancakkan sektor pelancongan, pendidikan dan pertukaran budaya,” ujarnya.

Pada masa sama, Anwar berkata, perbincangan turut menyentuh mekanisme bagi memperluaskan perdagangan dan pelaburan dua hala menerusi penggunaan mata wang tempatan, iaitu Ringgit dan Ruble, sebagai usaha mengukuhkan hubungan ekonomi serta mengurangkan kebergantungan kepada mata wang asing dalam urusan perdagangan.

Anwar turut menyatakan penghargaan terhadap pendirian Presiden Putin yang konsisten dalam menyuarakan pandangan berhubung beberapa isu antarabangsa termasuk konflik di Gaza dan perkembangan di Iran.

Beliau menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan strategik dan proaktif dalam memperkukuh keterjaminan tenaga negara melalui kerjasama antarabangsa yang mampu menjamin kestabilan, kesinambungan serta daya tahan bekalan tenaga untuk jangka panjang.

Jelas beliau, pertemuan tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi yang telah terjalin sekian lama, sekali gus membuka lembaran baharu kerjasama dalam pelbagai sektor berimpak tinggi yang mampu menyumbang kepada kemakmuran bersama. – MalaysiaMADANI