Berita, Siaran Media

KPT perkukuh agenda pembudayaan ilmu, catat jualan 16,431 naskhah buku di PBAKL 2026

Agenda pembudayaan ilmu negara serta peningkatan penerbitan akademik Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) kepada masyarakat berjaya diperkukuhkan menerusi kejayaan penyertaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang melabuhkan tirainya semalam.

KPT dalam kenyataan memaklumkan, sepanjang 10 hari penganjuran, Pavilion Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) yang menghimpunkan penerbit universiti dan organisasi penerbitan ilmiah tempatan muncul sebagai antara tarikan utama pengunjung menerusi penawaran lebih 10,000 judul buku ilmiah, akademik dan penerbitan umum di bawah satu bumbung.

“Pavilion MAPIM KPT telah merekodkan jualan sebanyak 16,431 naskhah buku yang melibatkan 24 penerbit universiti yang melibatkan tokoh akademik, penulis prolifik, pempengaruh, pengamal industri dan kepimpinan negara.

“Lebih membanggakan Pavilion MAPIM KPT menerima kira-kira 14,000 pengunjung, sekali gus membuktikan penerimaan positif terhadap penerbitan ilmiah serta mengukuhkan peranan MAPIM dalam merapatkan jurang antara dunia akademik dan komuniti,” katanya dalam kenyataan di media sosial, hari ini.

Pada masa sama, Pavilion MAPIM KPT turut menerima kunjungan dan sokongan daripada pelbagai pemimpin negara dan kepimpinan tertinggi KPT termasuk Menteri Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, pemimpin industri penerbitan negara yang bersama-sama menyemarakkan agenda pembudayaan ilmu sepanjang PBAKL 2026.

“KPT tahun ini turut membawa kelainan apabila menyediakan Konsultasi Kemasukan Pelajar ke Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti, MARA Bahagian Pendidikan Tinggi dan Permohonan Rayuan UPUOnline; Konsultasi Pinjaman/ Bayaran Balik/ Simpan SSPN Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN);

“Selain itu Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL); Konsultasi Penawaran Biasiswa/ Bantuan Kewangan/ Bayaran Balik PenajaanPT; dan Khidmat Pelanggan turut diberikan tumpuan,” ujarnya.

Malah, kehadiran luar biasa para mahasiswa dari seluruh negara yang memanfaatkan inisiatif baucar buku kerajaan turut menyuntik impak positif, sekali gus merancakkan lagi ekosistem industri perbukuan tanah air sepanjang pesta buku itu berlangsung.

Langkah strategik KPT ini memberi fokus kepada penerbitan digital dan akses terbuka juga dilihat sejajar dengan agenda pendigitalan pendidikan tinggi negara dalam memastikan ilmu dapat dicapai dengan lebih inklusif.

Penyertaan Pavilion MAPIM KPT dalam PBAKL 2026 telah berjaya memartabatkan penerbitan akademik IPT, memperluaskan capaian ilmu kepada masyarakat dan memperkukuh hubungan antara universiti dengan komuniti.

Kejayaan ini jelasnya membuktikan penerbitan ilmiah masih kekal relevan sebagai wahana penyebaran ilmu dan pembangunan masyarakat berpengetahuan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. – MalaysiaMADANI