Berita

PKPS perkukuh SFV sebagai hab agropelancongan bertaraf antarabangsa

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) terus memperkukuh Projek Selangor Fruit Valley (SFV) sebagai destinasi agropelancongan bertaraf antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, inisiatif tersebut berjaya menyumbang kepada pembangunan ekonomi agro negeri serta pertumbuhan sektor pelancongan domestik.

Beliau berkata, sejak 2021 hingga tahun lalu, SFV berjaya merekodkan 500,000 pengunjung, sekali gus mencerminkan peningkatan keyakinan dan permintaan terhadap produk pelancongan berasaskan agro, pendidikan serta rekreasi keluarga.

“Selain pengunjung tempatan, SFV turut menerima ramai pelancong antarabangsa, terutamanya dari United Kingdom, Australia, Rusia, Afrika, China, India, Jepun dan Korea,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata beliau, sebagai destinasi agropelancongan popular di Selangor, SFV mencatatkan pendapatan sebanyak RM7 juta pada tahun 2025 meliputi jualan buah-buahan dan sayur-sayuran, aktiviti agropelancongan, jualan produk ACE serta sewaan tanah kepada usahawan tani.

Menurutnya, bagi tahun 2025, SFV menerima kira-kira 100,000 pengunjung dan menyasarkan peningkatan kepada 150,000 pengunjung pada tahun 2026, sejajar dengan strategi pengembangan sektor agropelancongan negeri.

Katanya, SFV turut menampilkan konsep pelancongan berasaskan pendidikan agro dengan menawarkan pengalaman interaktif berkaitan pertanian, tanaman dan ekosistem makanan kepada pengunjung pelbagai lapisan usia.

Tambahnya, antara tarikan utama di SFV termasuk Eco Bridge, Animal Garden, Taman Arnab, Taman Rusa, Laman Itik, Rumah Kampung, Laman Ikan serta pelbagai aktiviti sukan air. 

“Pengunjung turut berpeluang menikmati pengalaman menaiki tram, memberi makan haiwan, menghasilkan telur masin, memandu ATV, memetik buah-buahan dan sayur-sayuran serta menyertai aktiviti penanaman pokok,” ujarnya. -MalaysiaMADANI