Berita

Perkasa ekosistem STI negara, jadi pemacu utama penyelesaian ekonomi 

Perancangan teliti perlu digerakkan bagi menjadikan sains, teknologi dan inovasi (STI) sebagai pemacu utama kepada penyelesaian ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selari dengan tekad untuk menjadikan STI sebagai penyelesaian ekonomi negara, setiap perancangan dan pelaksanaan mesti digerakkan secara lebih strategik dan berkesan.

Beliau berkata, ia bagi memastikan Malaysia mampu mendepani cabaran kewangan serta ketidaktentuan rantaian ekonomi global, termasuk krisis tenaga susulan konflik di Asia Barat.

“Tumpuan penuh terus diberikan kepada usaha memperkasa ekosistem STI negara melalui pelaksanaan beberapa inisiatif penting.

“Ia berasaskan misi yang diyakini mampu mengoptimumkan sumber, merangsang pertumbuhan ekonomi mampan serta memacu pembangunan berteraskan inovasi dan teknologi bernilai tinggi,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Kata beliau, pendekatan tersebut amat penting, khususnya dalam memperkukuh sinergi strategik antara Kerajaan MADANI, sektor swasta serta institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Tegas beliau, pengukuhan sinergi strategik itu mampu memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemah kepada manfaat nyata buat rakyat dan negara. -MalaysiaMADANI