Berita

Hub tumpuan warga asing di Cyberjaya digempur

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terus mempergiat usaha penguatkuasaan dengan memberi tumpuan kepada sektor perkhidmatan yang didominasi oleh warga asing. 

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan itu dilaksanakan sebagai komitmen berterusan JIM dalam membanteras aktiviti menyalahi peraturan serta memastikan kedaulatan undang-undang negara terus dipelihara tanpa sebarang kompromi. 

Beliau berkata, pelaksanaan penguatkuasaan melalui operasi bersepadu telah dijalankan di sebuah kawasan yang menjadi hub tumpuan warga asing di Cyberjaya, pada Rabu, jam 9.00 malam. 

Kata beliau, seramai 83 pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan JIM bersama 15 pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah diatur gerak ke Menara Paragon.

“Menara ini dipercayai menjadi lokasi tumpuan warga asing susulan aduan awam dan risikan yang dijalankan selama seminggu,” kata beliau dalam satu kenyataan. 

Menurut beliau, operasi tersebut memberi tumpuan terhadap pemeriksaan ke atas premis menjual makanan, kiosk, pusat jualan serta premis perniagaan di sekitar kawasan berkenaan yang disyaki menggaji dan melindungi warga asing tanpa kebenaran yang sah.

Tambahnya lagi, sebanyak 16 premis serta 105 warga asing dan 89 warganegara tempatan telah diperiksa dalam operasi itu. 

Hasil pemeriksaan, katanya, seramai 13 warga asing yang terdiri dari warganegara Sudan, India, Pakistan, Nepal, Myanmar dan Indonesia berumur di antara 26 hingga 35 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Selain itu beliau berkata, satu Borang 29 Saman kepada saksi telah dikeluarkan kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan. 

Jelasnya, kesemua warga asing tersebut ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut. 

“JIM tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini, selain tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI. -MalaysiaMADANI