Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh keupayaan dalam aspek penyiasatan jenayah kewangan apabila sembilan pegawai suruhanjaya itu ditauliahkan sebagai Penyiasat Kewangan Bertauliah selepas berjaya menamatkan kursus ‘Certified Financial Investigator Programme’ (CFIP).
SPRM dalam satu kenyataan berkata, kesemua sembilan pegawai berkenaan yang terdiri daripada pegawai daripada Bahagian Siasatan dan Bahagian Operasi Khas SPRM antara 135 pegawai daripada pelbagai agensi penguatkuasaan negara yang telah ditauliahkan dalam Majlis Konvokesyen CFIP 2025.
Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Menara Sri Wilayah, Putrajaya.
Menurut kenyataan itu, CFIP merupakan satu program pentauliahan yang diselaraskan oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).
“Peserta perlu mengikuti kursus intensif selama enam bulan secara hibrid iaitu secara bersemuka dan dalam talian (online),” kata SPRM dalam satu kenyataan.
Sepanjang tempoh itu, katanya, peserta diberi pendedahan terhadap aspek pengukuhan kepakaran melibatkan siasatan kewangan, pengesanan aliran wang haram dan pengesanan serta pelucuthakan aset.
Jelasnya, perkara itu penting bagi meningkatkan kompetensi pegawai ke arah pendekatan siasatan yang lebih strategik, berasaskan risikan serta analitik kewangan.
“CFIP ini merupakan sebahagian usaha kerajaan dalam melahirkan pegawai penyiasat yang berkemahiran tinggi, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran jenayah kewangan yang semakin kompleks,” ujarnya.
Kenyataan itu berkata, pensijilan profesional seperti CFIP merupakan elemen kritikal dalam menghadapi jenayah rasuah dan pengubahan wang haram yang semakin canggih serta rentas sempadan.
Selain itu katanya, ia juga mampu menyumbang kepada peningkatan kredibiliti pegawai penguatkuasaan negara di peringkat antarabangsa khususnya dalam aspek kerjasama dan pemulihan aset. -MalaysiaMADANI
