Berita, Siaran Media

Sebar berita palsu: 22 individu disiasat MCMC, 36 kertas siasatan dibuka 

Sebanyak 36 kertas siasatan dibuka Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akibat penyebaran berita palsu di media sosial melibatkan krisis tenaga global.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan, seramai 22 individu dari pelbagai lokasi di seluruh negara telah dipanggil  bagi merakam dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Enam kertas siasatan juga telah dirujuk kepada pihak timbalan pendakwa raya bagi penelitian dan tindakan selanjutnya.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MCMC pada masa sama menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan media digital yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.

Tindakan tegas katanya akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada.

“Orang ramai diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform media sosial dan media digital serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi bagi memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam. – MalaysiaMADANI

.