Berita

China, Malaysia terus perkukuh hubungan diplomatik

Hubungan Malaysia dan China terus diperkukuh apabila Menteri Keselamatan Dalam Negeri China, Chen Yixin melakukan lawatan kerja dan kunjung hormat pertama dirinya pada tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai rakan akrab kepada Malaysia, kehadiran tokoh kepimpinan tinggi dari Kerajaan China itu merupakan suatu perkara yang sangat dihargai.

Beliau berkata, satu perbincangan telah dilakukan dan ia terarah kepada perihal hubungan bilateral daripada sisi kerjasama keselamatan dua negara dan situasi geo-politik semasa dunia.

“Ia menuntut kerjasama erat dua negara bersahabat dalam memastikan keselamatan dan kestabilan rantau ini terus utuh,” kata beliau menerusi laman media sosialnya. 

Mendepani cabaran masa hadapan, Perdana Menteri berkata, kedua-dua negara bertekad memperkasa hubungan diplomatik serta kerjasama keselamatan.

Menerusi kerjasama erat itu, kata beliau, nikmat kemakmuran dapat dicapai daripada aspek sosial dan ekonomi, seterusnya dinikmati oleh rakyat kedua negara secara terpelihara. 

“Moga kemajuan yang dicapai bersama oleh kedua-dua negara dalam pelbagai aspek akan terus menjadi dorongan untuk terus memacu hubungan akrab Malaysia dan China,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI