Malaysia terima panggilan dari Pakistan bagi membincangkan keadaan genting yang berlaku di Asia Barat ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan kesempatan itu digunakan untuk bertukar pandangan berhubung perkembangan di rantau tersebut.
Beliau berkata, Malaysia dan Pakistan berkongsi kebimbangan terhadap situasi yang semakin meruncing susulan serangan rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat.
“Saya menegaskan bahawa tindakan ini merupakan pencabulan terhadap prinsip undang-undang antarabangsa serta Piagam PBB,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Perdana Menteri berkata, beliau dan rakan sejawatnya itu turut senada bahawa semua pihak yang terlibat perlu segera menghentikan serangan, melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat dan kembali ke meja rundingan bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak.
Pada masa sama, kata beliau, Shehbaz memaklumkan perkembangan mengenai ketegangan antara Pakistan dan Afghanistan, selain berkongsi pandangan tentang inisiatif yang perlu dilaksanakan bagi merintis jalan damai antara kedua-dua negara.
Tegas beliau, semua pihak perlu menahan diri dan mengelak daripada mengambil tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.
“Malaysia menggesa agar ketegangan ini ditangani melalui dialog dan saluran diplomatik,” ujar beliau lagi. -MalaysiaMADANI
