Formula kejayaan sesebuah negara bermula dengan asas sosial kukuh yang diamalkan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum berdasarkan sikap kerjasama dan toleransi tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berjaya berdiri kukuh atas semangat setia kawan dan persahabatan yang disemai dalam kalangan seluruh rakyat, merentasi kepelbagaian kaum, agama, budaya serta adat istiadat setiap negeri.
Beliau menegaskan bahawa soal keharmonian dan perpaduan tidak boleh sama sekali dipandang remeh.
“Sebarang isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat wajib ditangani dengan segera dan tidak boleh dibiarkan berlarutan sehingga mencetuskan ketegangan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Terdahulu Perdana Menteri menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) 2026.
Menurut beliau lagi, perbezaan pandangan dalam negara majmuk adalah satu perkara lumrah, namun ia tidak boleh menjadi alasan untuk mana-mana pihak bertindak di luar batas undang-undang.
Tegas beliau, tindakan yang mengganggu-gugat kestabilan negara tidak akan sama sekali ditoleransi.
“Sebelum beredar saya titipkan pesanan bahawa kestabilan, keamanan dan perpaduan adalah tunjang kekuatan Malaysia.
“Perkara penting ini menjadi tanggungjawab bersama untuk mempertahankannya,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
