Agenda pendidikan digital terus mendapat perhatian utama Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan pelajar memperoleh kemahiran relevan, selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035.
KPM dalam kenyataannya berkata, usaha itu diperkasakan menerusi Program Sokongan Profesional (PSP) Dasar Pendidikan Digital (DPD) Tahun 2026 yang diadakan di Kolej Sultan Abdul Hamid dan SMK Sultanah Asma, Kedah.
Katanya, program tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Sektor Dasar dan Kurikulum, Dr Rusmini Ku Ahmad.
“Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen berterusan KPM dalam memperkukuh pendidikan digital.
“Ia dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama Yayasan Guru Tun Hussein Onn dan PIBKS,” kata KPM menerusi media sosial rasminya.
Menurutnya, penganjuran program seumpama itu penting bagi memastikan murid memperoleh kemahiran serta literasi digital yang relevan dengan keperluan semasa.
Tambahnya, antara pengisian program termasuk lawatan ke bilik-bilik khas, sesi interaksi bersama warga sekolah serta penyampaian sumbangan bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran digital di peringkat sekolah.
“Inisiatif ini menzahirkan iltizam KPM untuk melahirkan generasi celik teknologi, berdaya saing dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan,” ujarnya. -MalaysiaMADANI
