Berita, Siaran Media

Dividen FELCRA 2025 ditetapkan 15 peratus akan dibayar awal 2026

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan dividen berasaskan operasi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) bagi tahun kewangan 2025, ditetapkan pada kadar 15 peratus dan dijangka dibayar awal 2026.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, penetapan dividen itu mencerminkan keupayaan FELCRA mengekalkan keuntungan yang berdisiplin dan pemantauan rapi bagi memastikan koperasi dan anak-anak syarikatnya terus mencatatkan prestasi mampan tanpa ketirisan.

“Pendekatan yang telus perlu menjadi asas kepada prestasi kewangan koperasi itu, selain memastikan kepentingan ahli sentiasa diberi keutamaan.

Kita mahu koperasi ini terus menjadi contoh terbaik, bukan sahaja dari segi keuntungan, tetapi dari segi tadbir urus dan manfaat kepada ahli. Pendekatan saya adalah pendekatan hands on dan jika lakukan pemantauan tidak boleh terburu-buru dan melakukan ketirisan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Ke-43 Koperasi Peserta-Peserta FELCRA Malaysia Berhad (KPFMB) malam tadi.

Katanya, prestasi KPFB sebagai anak syarikat membuktikan kekuatan model koperasi yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan perniagaan dan tanggungjawab sosial selaras dengan prinsip pembangunan inklusif.

Malah, keutamaan pengurusan diberikan kepada KPFB kerana jumlah ahlinya jauh lebih besar berbanding pemegang saham anak-anak syarikat lain, sekali gus memastikan manfaat ekonomi dapat dirasai secara lebih menyeluruh.

Beliau pada masa sama menegaskan, KPFB bukan sekadar mengejar keuntungan, sebaliknya membina kejayaan perniagaan yang memberi manfaat kepada peserta, komuniti dan keseluruhan ekosistem FELCRA.

Sejak penubuhannya lebih dua dekad lalu, KPFB telah menyalurkan dividen melebihi RM20 juta kepada koperasi-koperasi peserta FELCRA di bawah naungannya dengan prestasi cemerlang yang turut diiktiraf menerusi anugerah Status Koperasi Premier 2025 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia. – MalaysiaMADANI