Kesepakatan dan perpaduan kukuh rakyat berbilang kaum terus kekal menjadi resepi utama negara untuk mencipta lebih banyak kecemerlangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kekuatan rakyat terletak pada keteguhan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan suku.
“Sepanjang tiga tahun kita mentadbir, kita buktikan dengan dasar yang jelas untuk mendukung hak dan keperluan rakyat, terutamanya rakyat Sabah,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Beliau berkata, Perjanjian Malaysia 1963 kekal menjadi rujukan dalam menjelmakan perubahan yang sebenar buat rakyat Sabah.
“Apakah selesai semuanya? Sudah tentu tidak. Namun, apa yang penting dengan kuasa yang ada, kita perteguhkan matlamat ini.
“Ia dilaksanakan dengan rakan-rakan kita di Semenanjung, dan juga Sabah dan Sarawak agar ketidakadilan yang sekian lama dipinggirkan ini mula menampakkan hasil yang nyata buat rakyat Sabah dan Sarawak,” ujar beliau.
Tegas beliau, negara tidak akan berjaya sekiranya kerajaan yang bakal dibentuk terus memainkan sentimen kenegerian dan daerah.
Jelas beliau, kerajaan negeri yang bakal dibentuk di Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 perlu menjalin hubungan yang baik dengan kerajaan persekutuan.
“Main sentimen negeri, main sentimen daerah, kita tidak akan berjaya.
“Saya tahu, ini musim berkempen pilihan raya tetapi kita kena ingat di sebalik semua itu, kita perlu memikirkan perkara yang dipertaruhkan untuk masa depan,” kata beliau. -MalaysiaMADANI
