Kementerian Perpaduan Negara (KPN) kini sedang meneliti mekanisme baharu bagi penyediaan geran, termasuk cadangan untuk menaikkan kadar geran kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang aktif.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, antara pertimbangan utama adalah penetapan kadar geran berdasarkan tahap keaktifan KRT iaitu paling aktif, aktif dan sederhana aktif.
“Ia berbanding kadar sama rata (geran) yang ditetapkan sebelum ini iaitu sebanyak RM6,000 bagi KRT aktif dan ia telah dilaksanakan sejak tahun 2021,” kata beliau menerusi laman media sosial KPN.
Walau bagaimanapun beliau berkata, pihak kementerian telah mengambil pendekatkan proaktif dengan memperkenalkan Pelan Pemerkasaan Rukun Tetangga Progresif.
Jelas beliau, pelan tersebut mengetengahkan lapan bidang sebagai fokus utama, antaranya Ekonomi dan Sara Hidup yang bertujuan untuk menjana pendapatan komuniti, mengurangkan kos sara hidup dan membangunkan KRT Berdikari melalui aktiviti bersama.
Beliau berkata demikian semasa menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tahun 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat.
Seramai empat Ahli Yang Berhormat iaitu YB Kuala Langat, YB Jelebu, YB Sungai Petani dan YB Mersing yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan dan membangkitkan agar geran Kawasan Rukun Tetangga dinaikkan. -MalaysiaMADANI
	