Malaysia mengecam keganasan di Sudan dan mendesak supaya segala bentuk keganasan di Sudan dihentikan serta-merta susulan tragedi kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah El Fasher dan seluruh Darfur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, segala keganasan yang berlaku pada masa ini perlu dihentikan serta-merta dan keselamatan orang awam dilindungi sepenuhnya selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Saya amat bimbang dengan tragedi yang sedang berlaku di El Fasher dan seluruh Darfur, Sudan.
“Apa yang sedang kita saksikan ialah satu bencana kemanusiaan pembunuhan beramai-ramai, kebuluran serta perpindahan besar-besaran yang menggoncang nurani kemanusiaan,” katanya.
Mengulas lanjut Awar berkata Malaysia sentiasa bersama rakyat Sudan dan berharap masyarakat antarabangsa bertindak tegas supaya penderitaan tidak berlarutan.
“Kami berdiri teguh bersama rakyat Sudan dan menggesa masyarakat antarabangsa bertindak tegas bagi mengelakkan penderitaan berterusan, memulihkan akses kemanusiaan serta menyokong proses yang berwibawa ke arah keamanan dan kebertanggungjawaban.
Keganasan di El Fasher, ibu negeri Darfur Utara, kini disifatkan sebagai antara tragedi kemanusiaan paling dahsyat di Sudan sejak perang saudara meletus pada 2023.
Semalam media antarabangsa melaporkan kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) telah membunuh 300 wanita dalam tempoh dua hari pertama selepas memasuki bandar El-Fasher, ibu negeri Darfur Utara di barat Sudan.
Sebahagian wanita-wanita berkenaan turut menjadi mangsa serangan seksual, keganasan dan penganiayaan.
Rabu lalu, pemimpin RSF, Mohamed Hamdan Dagalo (Hemedti) mengakui bahawa ‘pelanggaran’ dilakukan oleh pasukannya di El-Fasher, sambil mendakwa jawatankuasa siasatan telah ditubuhkan. – MalaysiaMADANI
