Kerajaan telah menerima laporan tahunan Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) 2025 yang diserahkan oleh Pengerusi ABAC Malaysia, Datuk Ruben Emir Gnanalingam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan tersebut menghimpunkan pandangan serta aspirasi komuniti perniagaan di seluruh ekonomi Asia Pasifik kepada para Pemimpin Ekonomi APEC.
Beliau berkata, ia bertujuan memperkukuh pertumbuhan yang inklusif dan mampan, mempertingkat daya saing perniagaan serta memastikan manfaat kemakmuran dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.
“Seruan laporan ini terhadap perdagangan terbuka berasaskan peraturan adalah selari dengan dasar keterlibatan Malaysia yang berkecuali dan pragmatik,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Menurut Perdana Menteri, dalam suasana perdagangan global yang semakin berpecah dan tidak menentu, Malaysia mengambil pendekatan seimbang dengan mengekalkan hubungan erat bersama Amerika Syarikat dan China.
Meskipun begitu kata beliau, Malaysia masih berpaksikan kerjasama serantau melalui ASEAN dan platform seperti APEC meletakkan negara sebagai jambatan yang menghubungkan pelbagai blok ekonomi di rantau ini.
“Malaysia meneliti laporan ini dengan penuh perhatian sebagai input penting dalam perbincangan dasar sepanjang Sidang Kemuncak Pemimpin Ekonomi APEC di Gyeongju, khususnya dalam memperjuangkan agenda yang berpaksikan kesejahteraan rakyat, keadilan ekonomi dan pembangunan serantau yang seimbang,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
 
	