Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi melakar sejarah dalam pencapaian antarabangsa berikutan disenaraikan tokoh Muslim paling berpengaruh ke- 10 dalam The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims edisi 2025, terbitan Royal Islamic Strategic Studies Centre (RISSC), Jordan.
Menerusi buku tersebut, Anwar disenaraikan antara 50 tokoh Muslim Paling Perpengaruh Dunia, bersama tokoh-tokoh lain seperti Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani yang menduduki tempat pertama, Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul-Aziz Al-Saud, dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto..
Kedudukan Anwar melonjak ke tangga ke-10 berbanding sebelum ini di kedudukan ke-15 dan kenaikan berkenaan sebagai pengiktirafan terhadap pengaruh diplomatik dan kepimpinan beliau dalam isu-isu global yang melibatkan umat Islam.
Penilaian berkenaan dibuat berdasarkan sumbangan utama yang dinyatakan dalam laporan tersebut ialah pendekatan tegas dan konsisten Malaysia dalam menyuarakan sokongan terhadap rakyat Palestin, khususnya dalam konflik Gaza.
Malah Perdana Menteri ke-10 itu menjadi antara pemimpin Muslim yang lantang mengkritik kekejaman Israel dan menyeru tindakan kolektif antarabangsa.
Pengiktirafan ini diyakini mampu memberi impak positif terhadap imej Malaysia di peringkat antarabangsa, khususnya dalam usaha memperkukuh diplomasi Islam dan memperjuangkan hak asasi manusia di pentas dunia. – MalaysiaMADANI
