Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus melangkah teguh memastikan setiap helaian al-Quran yang berada di tangan umat Islam di Malaysia kekal sahih, terpelihara dan bebas daripada sebarang penyelewengan.
Untuk tujuan itu, KDN melancarkan Multaqa Madani yang telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, disaksikan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran serta Lajnah di bawahnya.
“Melalui penguatkuasaan Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 (Akta 326), Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran berperanan sebagai benteng utama bagi menjaga kesucian kalamullah.
“Usaha berterusan ini telah mendapat dukungan erat para ulama dalam Lajnah, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan pihak industri al-Quran di seluruh negara,” kata KDN menerusi laman media sosialnya.
KDN berkata, komitmen dan iltizam tinggi itu dizahirkan melalui tindakan berterusan pihak kementerian untuk memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan apabila bahan al-Quran yang diseleweng bernilai RM1.6 juta telah disita.
Selain itu menurutnya, sejumlah 53,164 bahan al-Quran tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa telah dirampas dan sebanyak 295 kertas siasatan dibuka.
Selari dengan perkembangan teknologi semasa, katanya, inovasi turut diperkasa melalui pemantauan bahan digital, aplikasi al-Quran, Braille dan teknologi baharu, agar arus kemodenan tidak sekali-kali menggugat kesahihan wahyu.
“KDN menegaskan bahawa pemeliharaan al-Quran bukan sekadar tanggungjawab kerajaan, tetapi amanah seluruh umat Islam, sekali gus memastikan setiap mushaf yang digunakan diperakukan, dimuliakan dan dikendalikan mengikut hukum syarak,” ujarnya. -MalaysiaMADANI
