Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi berkesempatan mengadakan pertemuan singkat dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebelum beliau berlepas ke Tokyo, Jepun pada pagi ini.
Pertemuan bermakna itu memberi ruang untuk meneliti semula hasil perbincangan dua hala Malaysia-Amerika Syarikat yang telah dijalankan sebelum ini, termasuk kerjasama strategik dalam bidang perdagangan, teknologi dan keamanan serantau.
“Saya turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Trump atas peranan beliau dalam menjayakan Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Accord) serta Pelan Damai Gaza.
“Ia menjadi sinar harapan ke arah keamanan yang adil dan berkekalan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Perdana Menteri menegaskan, Malaysia dan Amerika Syarikat bertekad untuk terus memperkukuh hubungan dua hala berasaskan saling hormat, kepentingan bersama dan semangat memperjuangkan keamanan sejagat.
Terdahulu, Trump berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10.06 pagi Isnin, selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Menerusi penerbangan pesawat Air Force One pada pagi ini, Trump meninggalkan bumi Malaysia selepas mengadakan lawatan dua hari ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Ia merupakan kunjungan pertama Trump ke Malaysia, sejak kembali memegang jawatan pada awal tahun ini dan sebagai sebahagian siri lawatan ke beberapa negara Asia. – MalaysiaMADANI
