Berita, Siaran Media

Perkembangan aktivis FFC dan TMTG dalam pemantauan Kementerian Luar

Kesemua sembilan aktivis Malaysia yang menyertai misi di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza yang kini dalam perjalanan ke Gaza dipantau rapat Kemententerian Luar.

Semua pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia di rantau berkenaan  diarah berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya selain mengekalkan pemantauan  terhadap perkembangan misi berkenaan.

“Langkah bersesuaian juga disusun bagi menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk risiko penahanan oleh pihak berkuasa Israel.

“Malaysia berterusan bekerjasama erat dengan negara rakan strategik bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan hak rakyat Malaysia sentiasa terpelihara,” katanya.

Tindakan berkenaan katanya  selaras komitmen berterusan kerajaan dalam menjunjung prinsip kemanusian sejagat dan keadilan antarabangsa.

Kementerian itu mengesahkan bahawa semua rakyat Malaysia berkenaan berada dalam keadaan selamat dan sihat.

Misi FFC kali ini menyaksikan lapan wakil Malaysia berada dalam kapal Conscience yang berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lalu diketuai Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, tiga doktor iaitu Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.

Turut serta berada di atas kapal berkenaan dua pensyarah Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Seorang lagi wakil Malaysia, Dr Maziah Muhammad berada di kapal Umm Saad yang berlepas dari Catania, Sicily pada 27 September bersama tujuh kapal layar lain menuju Gaza.

Kementerian Luar pada masa sama menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Turkiye atas sokongan, bantuan serta fasilitasi yang amat penting dalam memastikan kepulangan rakyat Malaysia terbabit.

Terdahulu, seramai 23 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) Malaysia yang dibebaskan daripada tahanan Israel selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 10.07, semalam.

Malah, penghargaan sama turut diberikan  kepada Kerajaan Jordan, Mesir, Amerika Syarikat termasuk negara ASEAN yang mempunyai kehadiran di Tel Aviv atas kerjasama dan bantuan dalam memastikan keselamatan serta kepulangan rakyat Malaysia.

Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul dan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai juga memainkan peranan penting dalam membantu proses membawa pulang, selain memastikan kebajikan sukarelawan Malaysia sepanjang transit serta urusan repatriasi berjalan lancar. – MalaysiaMADANI