Berita

Pasca kemerdekaan bukan sekadar ganti wajah penjajah -PM

Hari Malaysia bukan sekadar memperingati tarikh keramat 16 September tetapi menghayati lembaran pengorbanan generasi terdahulu dari Semenanjung, Sabah hingga Sarawak yang berjuang menolak penguasaan asing dan menuntut kebebasan bermaruah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemerdekaan lahir daripada darah, air mata serta keringat, malah hasil perjuangan yang panjang dan penuh derita melawan kolonialisme dan imperialisme. 

Beliau berkata, seluruh masyarakat wajib mengenang keikhlasan dan ketabahan generasi terdahulu yang merintis jalan kemerdekaan untuk mencapai sebuah kehidupan sebaiknya pada hari ini.

Jelas beliau, wawasan pejuang negara jauh mendahului zaman dan tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Temenggung Jugah, Tun Mustapha dan Tun Fuad Stephens bersama ramai lagi pejuang telah menyatukan kepelbagaian untuk membentuk Malaysia berdaulat.

“Cabaran pasca kemerdekaan menuntut lebih daripada sekadar mengganti wajah penjajah. 

“Apa gunanya penjajah diusir sekiranya penguasa tempatan yang menggantikannya berperangai sama iaitu tamak haloba, rakus, menghina warna kulit dan menggunakan kekuasaan untuk meragut kekayaan,” kata Perdana Menteri menerusi laman media sosialnya.

Beliau berkata, kemerdekaan sejati bukan sekadar bebas jasad, tetapi merdeka jiwa dan pemikiran. 

Tambah beliau, kejayaan yang ingin dicapai harus dibina dengan nilai, akhlak dan tatakelola yang baik, bukan dengan mengulangi kerakusan penguasa terdahulu.

“Semoga semangat Hari Malaysia yang diraikan saban tahun terus menyala, memandu langkah kita membina sebuah negara yang makmur, berdaulat dan berakhlak,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI