Penganjuran Majlis Sejarawan Negara merupakan inisiatif penting memperkukuh jati diri bangsa, menegakkan maruah negara dan memperdalam pemahaman masyarakat terhadap sejarah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam mengejar kemajuan, negara sering berlari ke arah pencapaian ekonomi, industri dan teknologi baharu.
Namun begitu kata beliau, sekiranya benar-benar mahu memaknakan gagasan Malaysia MADANI, masyarakat tidak boleh mengabaikan sisi yang membentuk roh dan jiwa bangsa iaitu sejarah, budaya dan nilai peradaban.
“Sejarah bukan sekadar catatan masa lalu. Ia adalah medan untuk menilai akar peradaban, mengenal kekuatan identiti serta mengingatkan kita tentang bahaya kerakusan kuasa, kezaliman dan kepincangan sistem.
“Dari Ibn Khaldun yang menekankan ibrah sejarah, hingga Henri Pirenne yang menunjukkan bagaimana pertembungan Islam dan Eropah membentuk tradisi moden, kita belajar bahawa sejarah sentiasa menjadi pendorong kemajuan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Beliau berkata, kolonialisme telah cuba membentuk pemahaman masyarakat melalui tokoh-tokoh seperti Stamford Raffles, Snouck Hurgronje, Macaulay dan Cromer.
Meskipun begitu tegas beliau, tugas masyarakat masa kini seharusnya merumuskan semula naratif, dengan berpaksikan pandangan dan pengalaman bangsa sendiri.
Tambah beliau, dalam dunia digital dan kecerdasan buatan (AI), nilai sejarah dan akhlak menjadi asas penting.
“Jika kita sekadar menyalin pandangan asing tanpa mempertahankan identiti dan warisan sendiri, kita akan hilang arah. Teknologi hanya akan bermakna jika ia berpaksikan nilai, budaya, bahasa dan sejarah bangsa,” ujar beliau.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, Majlis Sejarawan Negara akan berperanan sebagai wadah wacana, pengukuh naratif kebangsaan dan penasihat kepada kerajaan untuk memastikan sejarah terus hidup, segar serta memberi makna kepada masyarakat serta generasi muda. -MalaysiaMADANI