Negara mencatat satu lagi detik bersejarah di Baltimore, Amerika Syarikat (AS) apabila kapal bekas USCG Cutter Steadfast diserahkan secara rasmi kepada Malaysia dan kini dinamakan sebagai KM Bendahara, baru-baru ini.
Dokumen penyerahan telah ditandatangani oleh Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana (M) Datuk Mohd Rosli Abdullah dan Pengarah Domain and Integration Services, AS Coast Guard, James Knight.
Majlis penuh bersejarah itu disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman. Turut hadir Duta Besar Malaysia ke AS, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dan para pegawai kedutaan Malaysia.
Kerajaan AS diwakili oleh Pengarah Navy International Programs Office AS, Rear Admiral Raymond P. Owens III serta pegawai-pegawai dari State Department dan pegawai-pegawai dari United States Coast Guard (USCG).
“KDN yakin dan percaya, dengan penambahan KM Bendahara ini, APMM akan terus memperkukuh keupayaan dalam mempertahankan perairan negara, membanteras jenayah maritim serta melaksanakan operasi mencari dan menyelamat,” kata KDN menerusi laman media sosialnya.
Menariknya, KDN berkata, KM Bendahara akan memulakan pelayaran ulung selama dua bulan merentasi Lautan Atlantik, Mediterranean, Laut Merah, Lautan Hindi termasuk melalui Terusan Suez.
Tambah KDN, perjalanan pulang kapal tersebut merupakan pelayaran pertama terpanjang dalam sejarah kapal APMM.
Kata KDN lagi, kapal itu akan dikemudi oleh 50 pegawai dan anggota APMM yang telah menjalani latihan penyesuaian di laut selama dua bulan dan telah tamat latihan dengan jaya.
“Ia sebagai persiapan rapi bagi memastikan kejayaan misi ini. Semoga KM Bendahara dan wira-wira maritim negara yang mengemudinya berlayar dengan selamat serta membawa kejayaan, kebanggaan dan martabat Malaysia di persada dunia,” kata KDN. -MalaysiaMADANI