Beberapa isu membabitkan tenaga kerja asing termasuk hala tuju pengurusan kumpulan kerja itu telah dibincangkan secara halus oleh kerajaan tanpa menjejaskan pasaran buruh tempatan.
Perkara itu telah dibincangkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Bersama yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong,
Perbincangan tertumpu kepada semakan dasar kuota, penetapan syiling pekerja asing mengikut sektor serta langkah kawal selia bagi memastikan keperluan tenaga kerja dipenuhi tanpa menjejaskan pasaran warga tempatan.
“Agenda mesyuarat merangkumi penilaian dasar kuota penggajian pekerja asing secara suku tahunan dan penetapan syiling pekerja asing mengikut sektor selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-13.
“Selain itu, perbincangan menjurus mengenai isu pemutihan pekerja asing khususnya dalam sektor pembinaan serta usaha memperkukuh mekanisme kawal selia permohonan kuota agar lebih teratur dan berfokus kepada keperluan sebenar sektor kritikal,” kata Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menerusi laman media sosialnya.
Dapatan mesyuarat juga dicapai mengenai pembukaan permohonan kuota secara kes demi kes bagi tiga sektor dan 10 subsektor melalui agensi kawal selia serta penetapan syiling pekerja asing 2025 pada 2,467,756 tenaga kerja.
Keputusan juga diperoleh mengenai persetujuan mengurangkan keberadaan pekerja asing daripada 15 peratus kepada 10 peratus bermula 2026, selain pelaksanaan tindakan punitif terhadap majikan dan pekerja asing yang melanggar peraturan.
Mesyuarat juga menegaskan komitmen untuk memastikan pengurusan pekerja asing lebih tersusun, responsif kepada sektor kritikal serta seimbang dengan keperluan ekonomi negara -MalaysiaMADANI