Kementerian Pendidikan tidak akan kompromi terhadap salah laku buli di semua institusi pendidikan di bawah kementerian berkenaan dan setiap kes yang berlaku mesti dikendalikan dengan adil dan telus berdasarkan garis panduan yang ditetapkan.
Perkara itu dinyatakan Menterinya, Fadhlina Sidek susulan beberapa kes buli yang berlaku kebelakangan ini termasuk kes terbaharu melibatkan seorang murid berusia 10 tahun di Johor Bahru.
Beliau menegaskan pihaknya mengambil serius dengan kejadian buli melibatkan seorang murid yang berlaku di Johor seperti yang dilaporkan oleh media.
“Tiada kompromi terhadap salah laku buli di semua institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM).
“Ia mesti dikendalikan dengan adil dan telus berdasar kepada garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.
Tegas beliau, siasatan kes ini perlu disegerakan dengan tindakan segera sewajarnya dapat diambil.
Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah menziarahi murid terlibat yang sedang mendapatkan rawatan di hospital.
“Manakala siasatan sedang berjalan. Saya doakan semoga anak ini diberi kesembuhan segera,” katanya.
Terdahulu tular seorang murid berusia 10 tahun dari Johor mengalami gegaran otak selepas didakwa menjadi mangsa buli sebuah sekolah agama, Februari lalu.
Murid berkenaan yang juga pesakit kanser hidung dikatakan dipukul dan ditendang serta dihentakkan kepala serta dipaksa berbogel oleh murid lain.
Sementara ibu murid berkenaan mengakui kesal dengan kejadian berkenaan berikutan tiada tindakan sewajarnya dikenakan dengan alasan masih di bawah umur. – MalaysiaMADANI