Modul pendidikan di Pusat pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dicadangkan untuk ditransformasikan kepada modul TVET bagi membuka peluang kerjaya profesional selepas tamat tempoh pemulihan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika membuat lawatan ke PUSPEN Dengkil, baru-baru ini berkata, latihan berasaskan konsep ‘high growth, high value’ ini akan membolehkan pelatih menceburi bidang pekerjaan yang baik atau memulakan perniagaan, sekali gus menjamin masa depan yang lebih cerah.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Membanteras Dadah (JKMD) Kebangsaan, saya meletakkan misi memerangi dadah sebagai keutamaan kerana ia adalah musuh nombor satu negara yang mesti ditewaskan.
“Justeru, saya turun meninjau sendiri operasi dan kemudahan di PUSPEN Dengkil untuk melihat dan mendengar secara dekat pengalaman serta cabaran yang dihadapi oleh para klien dalam proses pemulihan, di samping memahami usaha gigih para pegawai dan petugas di sini,” katanya.
Dalam lawatan berkenaan, beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET berkesempatan melihat kebun ‘rock melon’, tanaman hiasan dan bengkel jahitan yang diusahakan pelatih PUSPEN.
Selain meninjau fasiliti asrama penginapan, serta merasmikan pusat gimnasium baharu yang peralatannya ditaja oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Menurut Ahmad Zahid, PUSPEN perlu dijadikan sebagai rumah harapan yang memberi sinar kehidupan baharu dan akhirnya kembali berbakti kepada keluarga serta masyarakat
“Bagi saya, proses pemulihan bukan sekadar membebaskan diri daripada ketagihan, tetapi juga memulihkan keyakinan, kemahiran, serta hubungan dengan keluarga dan masyarakat.
“Marilah kita memberi sokongan dan peluang kedua kepada mereka, sementara Kerajaan terus memperkukuh program pemulihan dan pencegahan,” katanya. – MalaysiaMADANI